R. Azmi – Hang Tuah Pt.1 & Pt.2

R. Azmi - Hang Tuah Pt.1 & Pt.2 — rakaman piring hitam dari koleksi Galeri Lebok Dana

Written by

in

MINGGU R.AZMI DI GALERI LEBOK DANA

Bersempena dengan “Minggu R.Azmi di Galeri Lebok Dana”, pada hari ini, Galeri Lebok Dana ingin memainkan sebuah lagu yang dinyanyikan oleh R. Azmi yang bertajuk “Hang Tuah Pt. 1 & Pt. 2”.

Di dalam klip video ini, diselitkan filem Hang Tuah lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan rakan-rakannya. Filem Hang Tuah mula ditayangkan pada 28 Januari 1956. Filem arahan Phani Majumdar ini merupakan sebuah filem yang menelan kos yang besar sebanyak 1 juta ringgit pada ketika itu. Dibuat di dalam bentuk warna-warni menggunakan teknologi Eastmancolor di mana proses pewarnaanya telah dilakukan oleh syarikat Denham Laboratories Denham Uxbridge yang berpusat di England.

Hampir kesemua pelakon yang berkhidmat di Malay Film Production terlibat di dalam pembikinan filem ini. Filem ini juga mengambil masa 2 tahun untuk disiapkan.

R.Azmi ataupun nama sebenarnya Raja Azmi Raja Ambiah merupakan seorang penyanyi Melayu era 50-an yang berasal daripada Kuala Kangsar, Perak. Beliau merupakan artis senangkatan dengan Tan Sri P.Ramlee dan Tan Sri S.M Salim di dalam program Bakat Radio 1947. Antara lagu hits yang beliau nyanyikan ialah “Hitam Manis”, “Dari Kerana Mata” dan “Hati Rindu”.

Semoga terhibur.

Terima kasih.

Lirik Lagu

Hang Tuah Part 1

Datuk Hang Tuah pahlawan bangsa
Muda perwira gagah perkasa
Sebagai tunjang pasak negara
Rela berjuang sepenuh daya

Besar jasanya Hang Tuah berbakti
Keseluruh alam bonda pertiwi
Kepada bangsanya membawa erti
Mengenalkan Melayu sejati

Dengan angkara puteri jelita
Terfitnah Hang Tuah serta merta
Duli baginda terlalu murka
Dipecat Hang Tuah dari istana

Walau pun dirinya tidak bersalah
Perintah baginda dijunjung rela
Taming sari senjata pusakanya
Dirampas balik dari miliknya

Dengan rela dan hati yang suci
Hang Tuah segera menjunjung duli
Tiada membantah sebarang peri
Beredar segera menyingkirkan diri

Sepeninggalan Hang Tuah nan pergi
Tampil Hang Jebat pula mengganti
Kerana perintah sultan sendiri
Jebat mengawal istana puri

Hang Tuah Part 2

Pada Hang Jebat Hang Tuah berpesan
Junjunglah titah baginda sultan
Berbuat baik biar berpadan
Berbuat jahat sekali jangan

Tapi Hang Jebat tidak peduli
Menurutkan nafsu hati sendiri
Menderhaka ia ke bawah duli
Dikorbankannya inang dan puri

Sultan pun lari dari istana
Berlindung diri barang ke mana
Banyaklah rakyat menjadi mangsa
Darah pun banjir di kota Melaka

Dengan permohonan Datuk Bendahara
Kembali Hang Tuah ke Melaka
Menuntut keadilannya negara
Mengadap Jebat yang merajalela

Keris terhunus berjuang laku
Tangkis tikaman menyelang lalu
Dengan kuasa Tuhan yang satu
Tewas Hang Jebat derhaka itu

Kota Melaka kembali tenang
Jasa Hang Tuah jadi kenangan
Hinggalah sekarang menjadi lambang
Bagai sateria pahlawan gemilang